MSAJ diberi peluang untuk buka gerai di Malaysia Fair buat kali pertama tahun ini, dan kami bereksperimen dalam keterbatasan yang ada. Ada jualan hasil tangan pelajar, penulisan khat dan permainan tradisional seperti ceper dan batu seremban.
Malaysia Fair adalah wadah yang sangat baik untuk menghimpun dan memperkenal budaya pelbagai yang ada di Malaysia kepada masyarakat global. Menerusi amatan terhadap pelawat yang hadir, kami dapati masyarakat Jepun ‘genuinely interested to learn new things’.
Poskad hasil tangan pelajar Malaysia di Kyoto Institute of Technology (KIT) contohnya, laris terjual pada hari kedua. Sama seperti biskut yang dibuat pelajar Malaysia di Mie University. Juga, tak menang tangan Hanin dan Fawwaz menyediakan tulisan khat jawi pada tetamu yang hadir.
Ada satu kisah, seorang ayah datang ke gerai kami, menyatakan rasa teruja sebab anaknya belajar jawi dan surah lazim menerusi Youtube. Mereka bukan keluarga Muslim, tetapi oleh kerana anaknya sangat konsisten menelaah video Youtube terbabit, mereka turut arif tentang tulisan jawi. Akhirnya si ayah belikan kedua-dua anaknya penanda buku yang tertulis nama mereka dalam jawi.
Di Jepun, kerajaan Turkiye melalui Presidency of Religious Affairs mengelola Tokyo Camii (Masjid Jamek Tokyo) di Shibuya. Usaha Presidency of Religious Affairs ini didukung oleh Yunus Emre Institute, sebuah NGO milik kerajaan Turkiye. Peranan Yunus Emre Institute ini mirip peranan yang dimainkan Dewan Bahasa & Pustaka, untuk mengangkat bahasa & budaya Turkiye pada dunia.
Dengan peruntukan berjumlah RM2 bilion untuk JAKIM, RM2.55 bilion untuk Kementerian Komunikasi dan RM711.34 juta untuk Kementerian Perpaduan Negara, sangat elok seandainya Kerajaan mempertimbangkan penempatan pegawai diplomatik bertaraf Kaunselor sebagai langkah pertama bagi memulakan interaksi antara budaya serta ‘streamline’ akses kepada panduan halal dengan lebih berkesan antara Malaysia dan Jepun.
Lebih-lebih lagi, pasca Olimpik, minat untuk pengeluaran makanan halal semakin berkembang dalam kalangan perusahaan-perusahaan tempatan. Malaysia perlu mengambil peluang ini, lebih-lebih lagi setelah Singapura dan Indonesia menandatangani MoU untuk mempromosikan kerjasama dalam perdagangan produk halal.
Ruang-ruang amal terlalu banyak, dan usaha peringkat tertinggi turut perlu dimulakan. Apatah lagi tahun depan Perdana Menteri akan mempengerusikan ASEAN dan kita akan membuka pavilion Malaysia bersempena Expo Osaka 2025.
Saya menyeru Menteri Luar, Menteri Komunikasi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Menteri Perpaduan Negara untuk mengambil manfaat daripada perkembangan ini.