Pertemuan Antara Pengarah Education Malaysia Beijing dan Pelajar Malaysia di Jepun Membina Jaringan Rentas Sempadan
28 Julai, Hikone - Ahad lalu Encik Muhammad Sallehuddin, Pengarah Education Malaysia Beijing yang datang ke Jepun untuk program JASSO Education Fair 2024 itu, mengambil peluang untuk berkunjung ke Hikone, Shiga bagi meluangkan masa dan menyantuni pelajar-pelajar Malaysia yang berada di sana. Perjumpaan yang diadakan di Restoran Sushi Ginzui itu dihadiri 7 orang pelajar Shiga University yang terdiri daripada tahun 2 sehingga tahun 4.
Encik Salehuddin menerangkan sedikit sebanyak berkenaan Education Malaysia Beijing yang merupakan salah satu daripada 12 pejabat Education Malaysia di seluruh dunia. Education Malaysia adalah agensi dibawah naungan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang bertanggungjawab dalam mempromosikan kerjasama pendidikan antara Malaysia dan China serta negara-negara di bawahnya termasuklah Jepun, Russia dan beberapa lagi. Beliau turut menasihatkan pelajar Malaysia di Jepun untuk mendaftarkan diri dalam sistem MyData yang dirangka oleh Education Malaysia bagi tujuan pengumpulan data pelajar-pelajar Malaysia di Jepun.
Bual bicara dua hala dalam pertemuan selama 2 jam setengah itu, menyaksikan perbincangan dalam pelbagai aspek seperti budaya pelajar Malaysia di luar negara, pengalaman kerjaya Tuan Sallehudin daripada pelbagai cabang dalam perkhidmatan awam serta isu-isu semasa. Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ), Saudara Firdaus turut mengambil peluang menerangkan sedikit sebanyak tentang struktur organisasi MSAJ dan program-program yang dilaksanakan oleh MSAJ sepanjang tahun.
Dalam sesi berasingan Encik Sallehuddin turut mewakili EMB menyampaikan sumbangan Kementerian Pengajian Tinggi berjumlah RM5,000 bagi membantu perjalanan pelaksanaan program MSAJ bagi tahun 2024.
Semoga pertemuan kali ini menjadi pemangkin untuk membentuk jaringan yang kukuh antara MSAJ dan Education Malaysia selain menjadi wadah pertukaran pelbagai informasi bermanfaat.