Kemerdekaan daripada Kaca Mata Pelajar Malaysia di Bumi Jepun
Melanjutkan pelajaran di bumi matahari terbit membuka lensa dunia yang baharu, memerhati perkembangan bangsa dan negara yang pernah rebah sekelip mata. Perjalanan 5 hari di bumi Hiroshima, menyertai Hatsukaichi Peace Tour dan berpeluang menghadiri Hiroshima Peace Memorial Ceremony 2026, memberi ruang refleksi keamanan dengan lebih mendalam.
Hiroshima pada tanggal 6 Ogos 1945, menjadi tempat keramat yang menyaksikan 90,000 nyawa diragut sekelip mata oleh bom yang diberi nama ‘Little Boy’ dengan keupayaan bersamaan 15,000 TNT seolah-olah membakar 500,000 gelen gasolin serentak. Bom ini mampu meratakan kawasan dalam radius 3 kilometer hanya dalam beberapa saat, sekali gus menaikkan suhu sekeliling sehingga 7,000 darjah Celsius yang membakar lapisan kulit sehingga ke tisu dalaman.
Kedahsyatan bom nuklear yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki ini tidak datang tanpa perancangan; pihak berkuasa turut sepenuhnya menyedari impak bom tersebut. Manakan tidak, Projek Manhattan telah dimulakan tiga tahun lebih awal dengan perbelanjaan melebihi USD2 bilion, disokong kajian saintis-saintis terkemuka. Malah, beberapa ujian bom praktis berskala kecil bernama 'Pumpkin' turut digugurkan terlebih dahulu ke beberapa bandar lain termasuk Nagoya, Kobe dan Osaka. Dengan penuh kesedaran itu, pihak berautoriti melepaskan bom di Hiroshima pada tarikh keramat 6 Ogos 1945, jam 8:15 pagi, yang secara keseluruhannya mengorbankan lebih 140,000 nyawa.
Tragedi berdarah ini membuktikan bahawa apabila hawa nafsu, kuasa dan harta membutakan mata manusia, kekejaman yang tidak terjangkau oleh akal mampu kita laksanakan jua.
Ini bukan sekadar sejarah silam. Suatu ketika dahulu, kita pernah saling rakus mencari gali rempah serta biji timah, bersaing dalam kepantasan revolusi industri, turut mengejar eksplorasi angkasa dan bom nuklear. Kini, teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) pula menjelma menjadi medan pertaruhan banyak negara. Negara-negara saling berlumba membuka pusat data (data centre) sebanyaknya, sambil membiarkan jutaan liter air digunakan setiap hari untuk menggerakkannya.
Dunia turut menyaksikan perubahan iklim yang amat serius; bencana alam silih berganti di banyak lokasi, dan kes-kes yang tidak pernah berlaku sebelum ini (unprecedented) kian kerap terjadi. Pencairan glasier di sempadan Nepal dan China baru-baru ini turut menggemparkan dunia dan meragut hampir 1,000 nyawa. Dunia kini tenat akibat tangan rakus manusia jua.
Kehancuran alam serta kebinasaan nyawa ini berakar umbi daripada kebejatan moral insani. Maka, merdekakah kita apabila ilmu, pengalaman dan sejarah masih belum mampu mengemudi tindak-tanduk diri ke arah yang terpandu?
Nilai merdeka, pada hemat saya, adalah apabila kita bebas mengemudi diri sendiri, menuntun ke arah yang terpandu, lebih-lebih lagi bebas daripada hawa nafsu sendiri. Firman-Nya: "Pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan, dan Allah membiarkan dia sesat berdasarkan ilmu pengetahuannya..." (Surah al-Jāthiyah, 45:23)
Organisasi, institusi kerajaan mahupun syarikat yang berpengaruh besar dipimpin oleh individu, dan setiap keputusan yang dibuat berpandukan cara pandang setiap individu di dalamnya. Menyemai jiwa merdeka sejak awal menjadi resipi penting untuk menghalang kuasa dan harta daripada mengaburi mata tatkala kita diberikan kepercayaan.
Maka, persoalan ini saya tinggalkan untuk renungan bersama. Adakah kita berjaya mengemudi hari-hari kita dengan sebaiknya? Sudah merdekakah kita?