Skip to main content

Senyuman di Bumi Fukui: Harmoni di Bawah Pohon Daun Senja

FUKUI, 15 November – Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) Wilayah Hokuriku telah mengadakan program Hokuriku Autumn Pot-luck di Fukui Prefectural Green Center, Sakai, Fukui.

Program ini merupakan hasil usaha semua ahli aktif MSAJ bagi wilayah Hokuriku yang diketuai oleh saudari Najwa Allyya, Pengerusi Wilayah Hokuriku. Hokuriku Autumn Potluck Gathering disertai oleh 48 peserta dari sekitar wilayah Hokuriku dalam satu program penuh mesra, bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara pelajar dan komuniti Malaysia di wilayah barat laut Jepun tengah.

Program ini dimulakan dengan sesi pengenalan diri, di mana semua urusetia dan peserta mengambil peluang untuk berkenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesi ini juga memberi peluang untuk para peserta yang sudah berkenalan bersatu semula selepas sekian lama.

Acara diteruskan dengan sesi menjamu selera juadah yang disediakan oleh pihak urusetia dan para peserta. Antara hidangan yang disediakan ialah Nasi tomato, kek batik, karipap, roti jala, bergedil and pelbagai lagi jenis hidangan pencuci mulut yang menarik perhatian. 

Sambil mengisi masa lapang, pihak urusetia turut mengadakan beberapa permainan untuk memeriahkan lagi perjumpaan ini. Antara permainan yang diadakan ialah 'Simon Says' dan ‘ I love you, I hate you’ yang amat mencabar minda para peserta. Hadiah-hadiah daripada pihak MSAJ turut dibawa pulang oleh tiga peserta yang berjaya melepasi permainan-permainan yang dianjurkan.

Para peserta juga bebas bersiar-siar di sekitar kawasan majlis sambil menikmati keindahan pemandangan musim luruh Jepun.

  • Hits: 28

Dari Bahara hingga ke Laut, Warisan Perjuangan, Penentangan dan Solidariti

Nagoya, 2 November — Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) telah mengambil bahagian dalam  Pameran Palestin yang diadakan di Nagoya. Pameran kali keempat anjuran Persatuan Hachimitsu Kids & Mama ini bertujuan memberi pendedahan kepada orang awam mengenai genosida yang telah sekian lama menimpa masyarakat Palestin. MSAJ mengambil peluang untuk menyumbang tenaga dan kewangan dalam menjayakan pameran ini. Setiausaha Agung MSAJ, Saudari ‘Ariqah Sarah, bersama Penolong Bendahari, Saudara Izzat Haiqal juga pelajar malaysia dari pelbagai wilayah di Jepun hadir selaku sukarelawan untuk membantu sepanjang program berlangsung. 

Penyertaan MSAJ dalam pameran ini mencerminkan semangat solidariti yang wajar dizahirkan, di samping memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat terhadap isu kemanusiaan global. Usaha ini turut menyuntik semangat tanggungjawab bersama dalam kalangan pelajar Malaysia di Jepun untuk terus terlibat secara langsung dalam inisiatif seumpama ini.

Acara yang berlangsung secara terbuka di OASIS 21, Nagoya, menarik perhatian ramai pengunjung yang mengunjungi pusat beli-belah tersebut. Melalui pameran ini, masyarakat berpeluang mendapatkan maklumat mengenai perkembangan terkini situasi genosida di Palestin.

Pelbagai aktiviti menarik seperti pameran galeri, kuiz interaktif, kraf tangan, jualan amal, pengalaman budaya : pakaian tradisional, inai, serta seni tulisan khat turut diadakan bagi memberi ruang kepada masyarakat mengenali Palestin daripada pelbagai sudut.

Pameran ini turut meninggalkan kesan mendalam apabila terdapat pengunjung, termasuk warga Jepun dan masyarakat antarabangsa, yang menzahirkan rasa simpati serta kesedihan terhadap penderitaan rakyat Palestin, sehingga ada yang menitiskan air mata ketika meluahkan rasa kecewa terhadap krisis kemanusiaan yang berlarutan itu.

Menurut Saudari ‘Ariqah Sarah, program seperti ini merupakan wahana efektif dalam membuka mata masyarakat antarabangsa terhadap isu genosid di Palestin, selain menjadi platform untuk mereka yang prihatin menyalurkan sokongan dan sumbangan terhadap perjuangan kemanusiaan tersebut.

  • Hits: 79

Rasa Sayang Cooking Class : Secubit Cukup Rasa dalam Masakan Perkongsian Budaya

KANAZAWA, 18 Mei - Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) bagi wilayah Hokuriku telah menganjurkan program Rasa Sayang Cooking Class, sebuah inisiatif perkongsian budaya masakan Malaysia bersama penduduk setempat Kanazawa. Program ini telah berlangsung di Kanazawa City Central Community Center, Nagamachi Hall. Sebagai sebahagian daripada usaha memperluas keterlibatan MSAJ di wilayah Hokuriku, program ini menjadi medium memperkenalkan budaya Malaysia serta menggalakkan interaksi secara langsung antara pelajar Malaysia dan masyarakat Jepun.

Seramai 20 peserta menyertai program ini, terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan termasuk Korea Selatan, Jepun, Bangladesh mahupun Malaysia. Semua peserta merupakan penetap di wilayah Hokuriku yang terdiri daripada Fukui, Ishikawa, Toyama dan Niigata. Program ini dibantu oleh semua ahli aktif MSAJ bagi wilayah Hokuriku yang diketuai oleh Najwa Allyya dan Anas Saidi. Para peserta diajar cara menyediakan hidangan popular rakyat Malaysia iaitu Nasi Ayam. Resipi yang diinspirasikan daripada menu Che Nom ini bukan sahaja mudah untuk disediakan, malah berjaya menjadi titik pertemuan budaya melalui aktiviti memasak bersama yang interaktif dan menyeronokkan.

Para peserta berpeluang mempelajari penyediaan hidangan Nasi Ayam secara berkumpulan, dengan bimbingan langkah demi langkah oleh Anas Saidi. Sepanjang sesi memasak, Anas Saidi turut menyelitkan perkongsian kosa kata Bahasa Melayu yang berkait dengan masakan agar memudahkan pemahaman tentang istilah dan kaedah masakan Malaysia. Menariknya, peserta yang bukan warganegara Malaysia turut diberi peluang untuk mencuba penggunaan lesung batu, sejenis alat tradisional yang penting dalam pelbagai masakan Malaysia, namun jarang ditemui di Jepun.

Melalui aktiviti ini , peserta daripada pelbagai latar belakang budaya dan kenegaraan dapat berinteraksi dan bekerjasama dalam suasana yang mesra dan santai. Peserta juga amat seronok apabila dapat menikmati hidangan yang jarang boleh didapati di negara matahari terbit ini meskipun selalu disajikan sebagai makanan tengahari dalam masyarakat Malaysia.

Pengerusi Wilayah Hokuriku, Najwa Allyya, menyifatkan program ini sebagai usaha yang berbeza daripada kebiasaan. Hal ini kerana aktiviti yang melibatkan pelbagai bangsa di Jepun jarang diadakan oleh MSAJ kerana kebanyakan aktiviti dan acara sering menumpukan kumpulan pelajar atau komuniti Malaysia. Oleh itu, program seperti ini mampu mendekati masyarakat Jepun serta memperkenalkan budaya Malaysia kepada mereka. Beliau juga berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluas di masa hadapan sebagai langkah memperkukuh keterlibatan MSAJ dengan komuniti pelbagai bangsa di Jepun.

Pihak MSAJ merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta dan semua pihak yang telah menjayakan program ini. Diharapkan usaha sebegini dapat diteruskan untuk memupuk hubungan erat antara pelajar Malaysia dan komuniti setempat di Jepun.

  • Hits: 258

Strike Hokuriku: Pertandingan Sukan Bowling Wilayah Hokuriku

TOYAMA, 28 Disember – Pertandingan Bowling “Strike Hokuriku” anjuran Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) Wilayah Hokuriku berlangsung meriah di Chitetsu Bowling, Toyama, dengan penyertaan 22 peserta dari pelbagai latar belakang. Acara ini bertujuan untuk memupuk hubungan erat dalam kalangan komuniti Malaysia di Hokuriku sambil bersaing secara sihat.

Pertandingan bermula pada jam 11 pagi dengan sesi pendaftaran dan taklimat ringkas sebelum pusingan pertama dimulakan. Peserta mempamerkan semangat dan usaha terbaik mereka, diiringi sorakan daripada rakan-rakan. Selepas rehat dan solat tengah hari, pusingan kedua dan ketiga diteruskan, mencipta suasana penuh semangat dan keakraban.

Pada jam 2 petang, pertandingan berakhir dengan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang. Kumpulan 1 dinobatkan sebagai johan berkumpulan, manakala tempat kedua dikongsi bersama dua kumpulan yang mencatatkan markah seri. Saudara Fakha dinobatkan sebagai pemain MVP kategori lelaki, manakala Saudari Elya pula dinobatkan sebagai pemain MVP kategori perempuan. Semua peserta turut menerima cenderahati sebagai tanda penghargaan. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar, mencipta kenangan manis buat semua.

Pertandingan ini berjaya mencapai matlamatnya untuk memperkenalkan aktiviti MSAJ, menggalakkan gaya hidup sihat, dan memastikan komuniti Malaysia di Hokuriku terus terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada komuniti MSAJ Hokuriku yang telah berusaha keras menjayakan acara ini serta kepada semua peserta yang hadir dan memeriahkan suasana. Kami berharap acara seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk terus mengukuhkan ikatan komuniti Malaysia di Jepun.

  • Hits: 669