Majlis Iftar Ubat Rindu Anak Perantauan
TOKYO, 14 Mac 2026 - Mendekati pengakhiran bulan Ramadan 1447 Hijri, MSAJ telah menganjurkan majlis MSAJ Iftar bagi sesi 2026 di Toyosu Campus Cafetaria, Shibaura Institute of Technology.
Dibawah pimpinan saudari Nur Atikah dan saudari Nurain Fathanah, majlis ini telah dijayakan dengan kerjasama wakil-wakil dari MSAJ. Antaranya, Presiden ‘Ariqah Sarah, Timbalan Presiden Izzat Haiqal serta ahli-ahli aktif yang lain. Seramai 45 peserta dari serata Jepun hadir memeriahkan majlis ini termasuk wakil dari Pejabat Penasihat pendidikan dan Latihan (PPL), Encik Imran bin Yusoff, Puan Yang Munirah binti Abdul Ghani dan keluarga.
Selain mengeratkan hubungan pelajar dengan komuniti di Jepun, objektif utama majlis ini adalah agar para pelajar dapat menikmati kemanisan berbuka bersama komuniti Malaysia meskipun berada di perantauan. Menu klasik Malaysia yang disajikan seperti nasi minyak ayam merah, karipap dan teh o panas turut mengimarahkan rasa nostalgia dalam kalangan tetamu sekaligus menjadikan majlis ini sebagai satu momen yang akan diingati.
Selain acara berbuka, majlis turut diserikan dengan acara kerohanian seperti tazkirah ringkas dan solat tarawih berjemaah yang dipimpin oleh ahli aktif MSAJ. Para tetamu turut meluahkan kepuasan hati mereka kerana dapat menunaikan solat berjemaah di tempat yang luas dan selesa, selain dapat mencipta kenangan yang indah bersama komuniti Malaysia di Jepun. Majlis diakhiri dengan acara Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh saudara Muaz Fariz.
Menerusi majlis ini, hadirin diberikan peluang untuk membina ukhuwah dan mencipta memori indah bersama komuniti Malaysia di Jepun. Pihak MSAJ berharap agar majlis ini dapat memupuk perpaduan, kerjasama dan semangat komuniti yang kuat dalam kalangan warganegara Malaysia yang tinggal di bumi sakura ini.
- Hits: 52




