Lawatan Rasmi PMX ke Jepun Perkukuh Hubungan Dua Hala Malaysia–Jepun
8–10 Jun 2026, Jepun
Lawatan rasmi selama tiga hari YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Jepun dilihat telah membuka ruang yang lebih luas untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun. Lawatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua negara dari sudut ekonomi dan diplomasi, malah turut memberikan sinar kepada komuniti pelajar Malaysia di Jepun pada masa mendatang.
Antara pengisian utama lawatan tersebut ialah syarahan khas YAB Perdana Menteri bertajuk “Nilai Ketamadunan Dalam Peradaban Manusia-Mesin” yang bertempat di Tokyo Universiti. Syarahan ini mencetuskan hujah mendalam mengenai peranan Kecerdasan Buatan (AI) serta keperluan mengekalkan keseimbangan antara kemajuan teknologi dan keupayaan berfikir secara kritis sebagai manusia.
Salah satu inti pati penting yang diketengahkan ialah perjalanan perkembangan ilmu daripada data kepada maklumat, maklumat kepada pengetahuan, dan akhirnya kepada hikmah. Menurut beliau, matlamat tertinggi yang perlu dicapai bukan sekadar pengetahuan, tetapi hikmah dalam menggunakannya. Kemajuan teknologi masa kini perlu dipandu oleh nilai hikmah, ihsan dan pertimbangan moral agar pembangunan yang berlaku tidak mengabaikan aspek kemanusiaan.
Dalam syarahan tersebut, YAB Perdana Menteri turut menyentuh konsep ningen (人間) yang dihuraikan oleh ahli falsafah Jepun, Watsuji Tetsurō. Konsep ini menggabungkan perkataan 人 (manusia) dan 間 (ruang), yang membawa maksud bahawa manusia tidak dapat hidup secara terasing, sebaliknya berkembang melalui hubungan dengan keluarga, masyarakat, sejarah dan pengalaman hidup. Falsafah ini mengingatkan kita bahawa kemajuan teknologi perlu sentiasa berakar pada nilai kemanusiaan.
Malaysia kini menyasarkan untuk muncul sebagai Negara AI menjelang 2030 dan menjadi antara hab kecerdasan buatan utama di Asia. Saya secara peribadi mengambil peluang semasa sesi soal jawab untuk bertanyakan tentang peranan graduan Malaysia di Jepun dalam menjayakan aspirasi tersebut. Menjawab persoalan itu, YAB Perdana Menteri menekankan kepentingan memanfaatkan masa di bumi Matahari Terbit sebaik mungkin dengan mengutip nilai melalui pemerhatian, pengalaman, pendedahan silang budaya serta hikmah yang diperoleh sepanjang tempoh pengajian.
Beliau turut menyebut nama Profesor Diraja Ungku Aziz, graduan Universiti Waseda yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Kisah beliau dijadikan contoh bagaimana pengalaman menuntut ilmu di Jepun mampu melahirkan tokoh yang memberikan impak besar kepada Malaysia. Harapan beliau adalah agar pelajar Malaysia di Jepun dapat menyemai semangat dan nilai yang sama untuk berbakti kepada negara pada masa hadapan.
Dari sudut hubungan dua hala, lawatan ini turut mencatatkan beberapa pencapaian penting. Antaranya termasuk perjanjian bekalan LNG selama 20 tahun antara Malaysia dan Jepun, pertemuan rasmi dengan enam syarikat global utama seperti IBM, Mitsubishi dan ENEOS, pengukuhan kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan mineral kritikal, serta pertukaran empat memorandum kerjasama yang melibatkan pelbagai sektor strategik.
Diharapkan sinergi yang terjalin melalui lawatan ini akan membawa manfaat yang berpanjangan kepada pelajar Malaysia di Jepun, khususnya dari segi peluang pekerjaan, ruang menyumbang kepakaran kepada negara, serta pembukaan peluang baharu dalam bidang inovasi, teknologi dan reformasi ekonomi yang akhirnya memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
Secara peribadi, saya amat terkesan dengan syarahan YAB Perdana Menteri. Pemilihan kata yang begitu luas, bernilai tinggi dan sarat dengan rujukan intelektual membuatkan para pelajar tekun mencatat setiap isi yang disampaikan. Walaupun pada hari ini teknologi AI mampu membantu menghasilkan teks yang baik, saya percaya keluasan kosa kata, ketajaman pemikiran dan kedalaman idea seperti yang dipamerkan dalam syarahan tersebut lahir daripada budaya membaca yang mendalam, pengalaman yang luas serta penghayatan ilmu yang berterusan. Ia menjadi peringatan bahawa dalam era kecerdasan buatan, manusia tetap perlu membangunkan kecerdasan ilmu, nilai dan hikmah agar teknologi terus menjadi alat yang memartabatkan, bukannya menggantikan kemanusiaan.