Rasa Sayang Cooking Class : Secubit Cukup Rasa dalam Masakan Perkongsian Budaya

KANAZAWA, 18 Mei - Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) bagi wilayah Hokuriku telah menganjurkan program Rasa Sayang Cooking Class, sebuah inisiatif perkongsian budaya masakan Malaysia bersama penduduk setempat Kanazawa. Program ini telah berlangsung di Kanazawa City Central Community Center, Nagamachi Hall. Sebagai sebahagian daripada usaha memperluas keterlibatan MSAJ di wilayah Hokuriku, program ini menjadi medium memperkenalkan budaya Malaysia serta menggalakkan interaksi secara langsung antara pelajar Malaysia dan masyarakat Jepun.
Seramai 20 peserta menyertai program ini, terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan termasuk Korea Selatan, Jepun, Bangladesh mahupun Malaysia. Semua peserta merupakan penetap di wilayah Hokuriku yang terdiri daripada Fukui, Ishikawa, Toyama dan Niigata. Program ini dibantu oleh semua ahli aktif MSAJ bagi wilayah Hokuriku yang diketuai oleh Najwa Allyya dan Anas Saidi. Para peserta diajar cara menyediakan hidangan popular rakyat Malaysia iaitu Nasi Ayam. Resipi yang diinspirasikan daripada menu Che Nom ini bukan sahaja mudah untuk disediakan, malah berjaya menjadi titik pertemuan budaya melalui aktiviti memasak bersama yang interaktif dan menyeronokkan.
Para peserta berpeluang mempelajari penyediaan hidangan Nasi Ayam secara berkumpulan, dengan bimbingan langkah demi langkah oleh Anas Saidi. Sepanjang sesi memasak, Anas Saidi turut menyelitkan perkongsian kosa kata Bahasa Melayu yang berkait dengan masakan agar memudahkan pemahaman tentang istilah dan kaedah masakan Malaysia. Menariknya, peserta yang bukan warganegara Malaysia turut diberi peluang untuk mencuba penggunaan lesung batu, sejenis alat tradisional yang penting dalam pelbagai masakan Malaysia, namun jarang ditemui di Jepun.
Melalui aktiviti ini , peserta daripada pelbagai latar belakang budaya dan kenegaraan dapat berinteraksi dan bekerjasama dalam suasana yang mesra dan santai. Peserta juga amat seronok apabila dapat menikmati hidangan yang jarang boleh didapati di negara matahari terbit ini meskipun selalu disajikan sebagai makanan tengahari dalam masyarakat Malaysia.
Pengerusi Wilayah Hokuriku, Najwa Allyya, menyifatkan program ini sebagai usaha yang berbeza daripada kebiasaan. Hal ini kerana aktiviti yang melibatkan pelbagai bangsa di Jepun jarang diadakan oleh MSAJ kerana kebanyakan aktiviti dan acara sering menumpukan kumpulan pelajar atau komuniti Malaysia. Oleh itu, program seperti ini mampu mendekati masyarakat Jepun serta memperkenalkan budaya Malaysia kepada mereka. Beliau juga berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluas di masa hadapan sebagai langkah memperkukuh keterlibatan MSAJ dengan komuniti pelbagai bangsa di Jepun.
Pihak MSAJ merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta dan semua pihak yang telah menjayakan program ini. Diharapkan usaha sebegini dapat diteruskan untuk memupuk hubungan erat antara pelajar Malaysia dan komuniti setempat di Jepun.