Skip to main content

Pertemuan Para Perintis Dasar Pandang ke Timur Melangkaui Generasi

TOKYO, 31 Mei - Barisan kepimpinan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) telah berkunjung ke majlis beramah mesra bersama Mantan Perdana Menteri Malaysia Ke-4 dan Ke-7, Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad di Imperial Hotel, Tokyo. Pertemuan ini diwakili oleh Presiden MSAJ, Muhammad Anas Saidi, Pengerusi Wilayah Kanto, Nurul Alia, Timbalan Setiausaha, Ainul Radhiah dan Timbalan Bendahari, Izzat Haiqal. Selain wakil MSAJ, pertemuan ini turut dikunjungi oleh ADUN Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, para pensyarah dari Sophia University, Tokyo dan pegawai kerajaan Malaysia.

        Tun Dr. Mahathir merupakan tokoh yang memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur pada 8 Februari 1982. Hasil dasar ini, Malaysia menyaksikan peningkatan besar dalam pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun serta pertumbuhan pesat perdagangan dua hala antara Jepun dan Malaysia. Kali ini, beliau melawati Jepun bagi menghadiri dan menyampaikan ucapan dalam Forum Antarabangsa Nikkei edisi ke-30 yang merupakan acara tahunan yang sering beliau sertai, di samping beramah mesra dengan diaspora Malaysia di Jepun.

        Dalam pertemuan ini, Tun Dr. Mahathir menyatakan harapannya kepada para pelajar Malaysia di Jepun agar mereka membawa pulang budaya dan ilmu pengetahuan dari Jepun untuk diterapkan di Malaysia melalui program Dasar Pandang ke Timur (LEP). Tambah beliau, umat Islam bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada akhirat semata-mata, tetapi juga perlu sentiasa menuntut ilmu, khususnya dalam mencontohi masyarakat Jepun.

        Melalui sesi ini juga, wakil-wakil MSAJ berpeluang mengajukan beberapa soalan terhadap Tun Dr. Mahathir. Antara soalan-soalan yang dikemukakan adalah mengenai padangan beliau terhadap perubahan dalam LEP, khususnya apabila dasar tersebut turut ditumpukan kepada Korea Selatan dan China. Terdapat juga soalan-soalan lain yang ditujukan mengenai harapan beliau terhadap pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Jepun. 

        Secara keseluruhannya, sesi pertemuan ini menekankan kepentingan mengekalkan hubungan erat antara Jepun dan Malaysia, terutamanya dalam memajukan bidang pendidikan dan ekonomi negara. Hubungan yang telah terjalin sejak lebih 40 tahun lalu ini perlu diteruskan dan diperkukuh seiring dengan aspirasi LEP.

        Saudari Ainul Radhiah berkongsi pendapatnya yang bersetuju dengan seruan Tun Dr. Mahathir - agar para pelajar Malaysia di Jepun lebih proaktif berinteraksi dengan komuniti setempat dan mencabar diri dalam memperoleh pelbagai pengalaman baharu. Pertemuan wakil MSAJ bersama Mantan Perdana Menteri ini telah menyaksikan perkongsian aspirasi kepimpinan yang melangkaui generasi di negara Asia Timur ini

  • Hits: 36

MSAJ Raya Open House : Lemang Berbara di Tohoku, Ketupat Terjalin di Kansai

TOHOKU & OSAKA, 19-20 April - Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) dengan kerjasama Pejabat Penasihat Pendidikan dan Latihan (PPL), Kedutaan Besar Malaysia Tokyo serta pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Rumah Terbuka Raya di dua wilayah utama, iaitu Tohoku dan Kansai.

Penganjuran ini bertujuan menyediakan platform kepada warga Malaysia, khususnya para pelajar yang menetap di Jepun, untuk meraikan Hari Raya dalam suasana penuh kemeriahan. Selain itu, program ini turut menjadi medium untuk memperkenalkan peranan dan kewujudan MSAJ kepada komuniti pelajar di kedua-dua wilayah tersebut.

Rumah Terbuka Raya bagi wilayah Tohoku telah berlangsung dengan jayanya di Jozenji Hills, Sendai, dengan kehadiran seramai 68 orang pelajar Malaysia dari wilayah Tohoku, Kanto, dan Hokuriku.

Program ini dianjurkan oleh MSAJ dengan kerjasama PPL, yang diwakili oleh Encik Imran Yusof dan Puan Yang, selaku penasihat dan kolaborator utama. Penganjuran ini turut disokong oleh ahli MSAJ yang diketuai oleh 'Awatif Marha dan Najwa Allya, bersama 17 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada ahli aktif MSAJ serta sukarelawan dari Sendai dan Akita.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Muhammad Haziq Daniel, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Presiden MSAJ, Anas Saidi, serta ucapan daripada wakil PPL, En Imran Yusof.

Pelbagai aktiviti telah dianjurkan bagi memeriahkan sambutan, termasuk pertandingan "Teka Lagu Raya" dan "Teka Kuih Raya", persembahan nyanyian oleh En Nasaii Masngut, serta sesi open-mic yang memberi ruang kepada para hadirin untuk turut serta. Jamuan juadah Hari Raya turut disediakan bagi meraikan para tetamu.

Kemeriahan rumah terbuka ini turut dipertingkatkan dengan sesi cabutan bertuah, di mana para pemenang berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah yang lumayan seperti hamper yang menarik.

Timbalan Presiden MSAJ, 'Awatif Marha, menyifatkan penganjuran Rumah Terbuka Raya Tohoku sebagai satu kejayaan, meskipun merupakan program bersemuka pertama MSAJ yang dijalankan di wilayah baharu, iaitu Sendai.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa, sukarelawan, penasihat daripada PPL, serta rakan-rakan yang hadir atas komitmen dan bantuan mereka, meskipun berdepan dengan cabaran tempoh persiapan yang singkat dan kebanyakan ahli jawatankuasa adalah pertama kali menguruskan acara seumpama ini.

Dalam harapannya, 'Awatif Marha menyatakan bahawa program ini, yang dijalankan dengan kerjasama PPL, diharap dapat menjadi permulaan kepada lebih banyak penganjuran program MSAJ di pelbagai wilayah di Jepun pada masa akan datang.

Rumah Terbuka Kansai diadakan pada hari berikutnya bertempat di Rental Space 8 Hachi, Osaka. Program ini merupakan hasil kerjasama antara ahli MSAJ wilayah Kansai yang diketuai oleh Annies Syakirah dan Izzat Haiqal, bersama pelajar UUM yang diketuai oleh Sharweswaraan Kumaraval.

Rumah Terbuka ini menerima kehadiran seramai 23 wakil daripada UUM dan 76 warga Malaysia yang menetap di sekitar wilayah Kansai.

Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Ketua Wilayah Kansai, Annies Syakirah, diikuti oleh penasihat pelajar UUM, Encik Syazani Marzuki. Pelbagai juadah enak telah disediakan untuk para tetamu, di samping aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan sepanjang program berlangsung.

Acara kemuncak program menyajikan persembahan tarian oleh wakil pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM), yang mempersembahkan pelbagai jenis tarian berlatarkan lagu-lagu tradisional daripada pelbagai kaum utama di Malaysia, termasuk pertunjukan silat. Persembahan ini bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian budaya tanah air, malah menyerlahkan semangat perpaduan yang diraikan dalam suasana Aidilfitri.

Para peserta dari UUM turut tampil anggun dalam busana tradisional masing-masing, menyerikan lagi persembahan yang penuh warna dan makna ini.

Sebagai tanda penghargaan, majlis diakhiri dengan penyampaian plak oleh wakil MSAJ Kansai, Izzat Haiqal kepada pelajar dan penasihat UUM atas kerjasama erat sepanjang penganjuran program ini.

MSAJ merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan penganjuran Rumah Terbuka Raya di perantauan ini. Kehadiran para tetamu amat dihargai dan memeriahkan suasana sambutan, menjadikan majlis rumah terbuka ini satu kejayaan yang dihargai bersama.

  • Hits: 299

SakuRaya 2025 - Potluck Hanami dan Raya Gathering di Showa Kinen Park

TOKYO, 5 April - Warga Tokyo telah hadir memeriahkan Majlis Hari Raya bertemakan potluck di Showa Kinen Park, Tokyo. Majlis ini merupakan kolaborasi di antara pihak MSAJ, IMAN JEPUN dan KEMEJA. Wajah- wajah yang hadir kelihatan ceria bersama keluarga dan teman-teman sambil menikmati juadah yang di bawa oleh para hadirin. Terdapat juga pemberian cabutan bertuah ke para pemenang yang bertuah. Wakil MSAJ, Ainul Radhiah turut diberikan peluang untuk memberikan sedikit ucapan kepada semua. Radhiah mengucapkan selamat hari raya kepada semua dan berharap agar aktiviti ini dapat mengakrabkan hubungan di antara warga Malaysia di Jepun. 

MSAJ mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat untuk menjayakan program ini. Semoga persaudaraan ini dapat diteruskan lagi di masa yang akan datang.

  • Hits: 331

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Gasshuku MSAJ 2024/2025

SHIZUOKA, 11–13 Januari – Acara kemuncak Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ), iaitu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Gasshuku, telah berlangsung selama tiga hari dua malam di Izu, Shizuoka. AGM tahun ini diadakan secara bersemuka pada hari kedua program, menandakan pengalaman yang lebih bermakna berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Program tahunan ini bertujuan menghargai usaha dan komitmen ahli aktif MSAJ yang telah berhempas pulas memastikan kelancaran semua aktiviti sepanjang sesi 2024/2025.

AGM secara bersemuka ini memberi peluang kepada ahli untuk berbincang dan merenung pencapaian organisasi dengan lebih mendalam. Setiap biro diberikan ruang untuk membentangkan kejayaan masing-masing serta cadangan penambahbaikan bagi sesi mendatang. Majlis diakhiri dengan pengumuman barisan kepimpinan baharu untuk sesi 2025/2026.

Selain AGM, Gasshuku pada tahun ini turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk permainan berkumpulan dan jamuan BBQ yang mengeratkan lagi hubungan antara ahli.

Setinggi penghargaan juga diucapkan kepada biro pembangunan insan yang menjadi tulang belakang menjayakan Gasshuku dan AGM MSAJ kali ini dengan pelbagai pengisian yang bermanfaat, aktiviti menarik dan memastikan kelancaran program secara keseluruhan.

Diharapkan semangat kerjasama dan dedikasi yang ditunjukkan pada sesi ini dapat dikekalkan dan dipertingkatkan pada masa akan datang. Kepada semua yang telah berusaha keras sepanjang sesi 2024/2025,
大変お疲れ様でした!

  • Hits: 616

Hari Sukan Malaysia 2024: Simfoni Perpaduan dan Semangat Kesukanan

NAGOYA, 4 Januari - Hari Sukan Malaysia 2024 yang berlangsung di Paloma Mizuho Park, Nagoya, berjaya dianjurkan dengan penuh meriah dan semangat perpaduan. Acara ini merupakan hasil kerjasama antara Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ), Paloma Mizuho Park, serta komuniti Malaysia dan Jepun. Dengan kehadiran lebih daripada 260 peserta dari pelbagai wilayah di Jepun, program ini berjaya mengukuhkan hubungan antara komuniti Malaysia dan masyarakat tempatan Jepun.

Acara bermula pada waktu pagi dengan sesi Kōryūkai (交流会), yang mempertemukan seramai 160 peserta dari komuniti Jepun dan pelajar Malaysia. Pendaftaran bermula pada jam 9:30 pagi, di mana semua peserta menerima beg mini dan kipas kertas sebagai omiyage.

Program dimulakan dengan ucapan aluan daripada wakil Paloma Mizuho Park, En Takahashi Miho, dan Saudara Firdaus yang mewakili pihak MSAJ. Aktiviti diteruskan dengan Radio Taiso, senaman tradisional Jepun yang berjaya memecahkan suasana dan memanaskan badan para peserta.

Peserta kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk menyertai permainan tradisional dari kedua-dua budaya, seperti Giant Karuta, Sepak Takraw, Ninja Play, dan Hekisesuron. Suasana ceria, gelak tawa, dan semangat kerjasama jelas terpancar sepanjang sesi berlangsung. Aktiviti ini diakhiri dengan sesi Taiso khas Mizuho, sebelum para peserta berkumpul untuk sesi bergambar pada jam 12:10 tengah hari.

Pada sebelah petang, Hari Sukan Malaysia diteruskan dengan pertandingan sukan, yang disertai oleh 103 peserta. Pendaftaran dibuka pada jam 12:30 tengah hari, dan gelanggang sukan mula dibuka pada jam 13:30.

Pertandingan melibatkan empat jenis sukan utama, iaitu bola tampar, ping-pong, bola keranjang, dan badminton. Setiap peserta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi sambil bersaing untuk menjadi juara dalam kategori masing-masing. Suasana pertandingan penuh dengan sorakan semangat, menjadikan acara ini satu pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Majlis penyampaian hadiah berlangsung pada jam 5:50 petang, di mana pemenang setiap kategori menerima pingat emas sebagai penghargaan atas usaha mereka. Acara ditutup dengan sesi bergambar bersama pada jam 6 petang, yang merakam kenangan indah hari tersebut.

Berikut adalah senarai pemenang Hari Sukan Malaysia 2024:

Bola Tampar: BALL BUSTERS

Bola Keranjang: AGEMONO

Ping-Pong: Muhammad Hasnul Iman

Badminton Beregu Lelaki: Izzat Idzuan Addam & Shahirffan Addam

Badminton Perseorangan Lelaki: Muhammad Amirul Firdaus

Badminton Beregu Perempuan: Fatin Nur Aqilah & Syafika

Badminton Perseorangan Perempuan: Nor’aina Raudhah

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Biro Sukan & Rekreasi MSAJ atas komitmen mereka dalam menjayakan acara ini. Terima kasih juga kepada tokyohalalbento atas hidangan lazat yang menambah keceriaan acara dan kepada Paloma Mizuho Park atas tajaan lokasi yang begitu ikonik.

Hari Sukan Malaysia 2024 bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memperkukuhkan hubungan antara komuniti Malaysia dan Jepun. Semoga acara seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk terus memupuk semangat perpaduan dan kesukanan dalam kalangan peserta, sekaligus menjadi inspirasi untuk komuniti lain di Jepun.

  • Hits: 593