Skip to main content
30 September 2024

Kenapa menulis dan membaca kemahiran yang penting?

Muhamad Firdaus Ali
Insan, dinamik sifatnya. Setiap daripada kita ada dunia kita masing-masing.
Makanya, menulis adalah kaedah menterjemah apa yang ada dalam fikiran di atas kertas.

Melalui penulisan, kita akan sedar bahawa cara insan melihat sesuatu sangat pelbagai. Ini turut dipengaruhi oleh bagaimana seseorang insan dibesarkan.
Penulisan juga adalah penzahiran terhadap keunikan seseorang individu. Kita kena berfikir, berfikir dan berfikir — sebab berfikir adalah upaya teragung yang diberi Yang Maha Agung.

Perspektif ini turut memberikan kita pengakuan, bahawa Tuhan memuliakan insan dengan akal, agar kita memanfaatkannya bagi melaksanakan islah.

Dalam al-Quran, ada pelbagai situasi yang mengkehadapankan peri penting islah (perbuatan menambah baik).

Dan Tuhan, tidak akan sekali-kali menyia-nyiakan ganjaran, pulangan, buat orang yang melakukan penambah baikan (rujuk surah ke-7 ayat 170).

Kaedah ini perlu membawa kita kepada kefahaman, bahawa kita tidak akan selamanya berada di sebuah titik yang ideal.

Perbuatan menambah baik ini perlu berlaku dalam pelbagai situasi dalam kehidupan, termasuk kerangka peribadi, institusi atau alam.

Perbuatan-perbuatan ini adalah natijah penting kepada aktiviti berfikir, yang terzahir melalui penulisan. Pena, mempunyai kemuliaan yang tersendiri bila ada surah khusus dalam al-Quran membincangkan mengenainya.

Berfikir juga perlu menatijahkan amal, sebagaimana pesan al-Quran: rujuk surah ke-9 ayat ke 105.

Selain menulis, membaca juga penting.

Membaca ini, pintu masuk kepada pemikiran individu lain.

Sementara membaca ini boleh dilaksana bila kita cuba baca riak wajah, menilai perbualan dengan individu tertentu, membaca bagaimana karakter-karakter dalam alam berinteraksi, perhatian khusus turut perlu diberi pada perbuatan membaca teks-teks yang baik.

Dan di penghujungnya, membaca dan menulis ini, seharusnya membawa kita satu tahapan yang lebih tinggi: makarim al-akhlak (kemuliaan akhlak).

Membaca membawa kita ke penjuru dunia yang berbeza, tanpa perlu bergerak. Namun kelemahannya, kita tak dapat alami apa yang ada di penjuru dunia yang berbeza itu.

Meskipun demikian, andai pengetahuan tentang sesebuah disiplin ilmu itu mempunyai beberapa tahapan atau lapisan, membaca akan mengupas sekurang-kurangnya lapisan pertama.

Pembacaan yang dijalankan sambil berfikir juga akan membuahkan perasaan tertanya-tanya (curiosity).

Kita perlu jadikan perasaan tertanya-tanya ini, ‘natural’ dalam hidup insan. Hatta Nabi Ibrahim a.s terus menerus tertanya-tanya tentang Tuhan, sehingga Tuhan membuka ruang untuk jawapannya.

Dan, membaca juga memberi peluang kepada kita, untuk sintesis pengetahuan baharu, sebab bila ada banyak akses pada bahan pengetahuan, kita akan boleh bezakan ilmu asali (natural knowledge) dan ilmu terbitan (derived knowledge).

Ilmu asali sangat terkait dengan tauhid, bahasa, hukum alam (sains), matematik.

Manakala ilmu terbitan ini, berdasarkan petunjuk dari ilmu asali, kita buka ruang untuk sintesis pengetahuan baharu yang lebih berkualiti dan bermanfaat.

Bila kerangka ini jelas, kita akan menyedari ada bahagian-bahagian dari ilmu terbitan yang boleh disanggah berdasarkan realiti yang ada pada individu.

Kefahaman ini akan turut memperkaya rasa, dan mengakui bagaimana rumit Tuhan menyediakan alam ini, supaya insan ‘wander’ dalamnya.

Mudah-mudahan pertimbangan-pertimbangan ini menjadi ‘bedrock’ kepada keperluan belajar secara berterusan (continuous learning) dalam kehidupan.

Saya tiba pada kefahaman ini di usia hampir 23 tahun, dan saya menulis di sini dengan harapan supaya generasi saya yang seterusnya tiba pada kefahaman ini lebih awal.
Visited for 1220 times