Keperluan berfikir dan bersikap mandiri dalam melaksanakan tanggungjawab beragama
Saya fikir sebagai warga pelajar di Jepun, setiap daripada kita mempunyai peranan tersendiri dalam memahami keperluan berfikir dan bersikap mandiri dalam menjalankan tanggungjawab beragama. Mandiri membawa makna berdiri sendiri, atau dalam bahasa Inggerisnya independent.

Sebelum pergi lebih jauh, saya sarankan saudara & saudari untuk menelusuri karya Pendeta Za'ba, seorang pemikir yang mempunyai pemikiran merentasi zaman. Kritik yang beliau zahirkan dalam karya ini masih lagi relevan walaupun beliau telah meninggal dunia di usia 78 tahun pada tahun 1973.
Perkembangan zaman telah menyebabkan perpecahan masyarakat dan umat dalam pelbagai jenis perkara, sehinggakan kita dilupakan akan asas-asas yang menjadi tonggak sandaran seorang Muslim.
Penting untuk kita fahami, bahawa seorang Muslim itu saudara antara satu dan yang lain. Ini adalah natijah daripada kefahaman surah al-Hujurat, ayat ke-10:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
Selain itu, kita diperingatkan agar berpegang pada tali Allah dan tidak berpecah belah. Kefahaman ini dicorakkan atas asas yang dizahirkan oleh Allah swt dalam surah ali Imran, ayat 103:
وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.
Atas asas-asas ini, kita perlu menetapkan bahawa mana-mana organisasi ataupun institusi, adalah platform untuk kita mencapai apa-apa matlamat yang sepunya (common goals). Namun, penglibatan ini tidak pernah dan tidak boleh menyisihkan kita daripada meyakini, bahawa setiap insan mempunyai peranan yang tersendiri dalam konteks dunia yang luas - supaya dapat berkhidmat, memberi sumbangan dan meninggalkan indelible remarks (kesan kekal) terhadap kemanusiaan secara keseluruhannya.
Saya teringat firman Allah swt,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Kita perlu terjemahkan apa yang Allah swt pesan dalam surah al-Hujurat ayat ke-13 ini, menerusi tindakan, agar kelak generasi seterusnya akan menjadi insan yang memahami kepelbagaian alam dan ruang yang perlu diisi mereka menerusi kepakaran dan kebolehan masing-masing.
Tatkala kita sentiasa berfikir tentang peranan insan, dan terus menerus bersikap mandiri dalam melaksanakan tanggungjawab beragama, saya terdorong untuk mengemukakan pesan Allah swt dalam surah ali Imran ayat 190 dan 191 di bawah bagi mengakhiri penulisan kali ini:
إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَـٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمًۭا وَقُعُودًۭا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَـٰطِلًۭا سُبْحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
Semakin kita menjengah usia dewasa, akan ada perkara yang kita jumpa sifatnya sangat rumit dan tidak straight-forward. Salah satu cabaran kita adalah bagi mencari neraca yang betul bagi membantu kita membuat keputusan dalam pelbagai perkara. Di samping meletakkan pengharapan pada panduan dari Allah swt, santunilah mereka yang lebih berusia agar kita dapat kenalpasti hikmah (wisdom/知恵) yang boleh membantu kita untuk urusan-urusan ke hadapan.